Wednesday, March 7, 2012

Sekotak Hadiah




Seorang kanak-kanak perempuan bertanya kepada ayahnya :

"Ayah, apakah barang yang paling ayah sayang?"

"Kenapa Siti?"

"Ayah jawablah dulu."

"ni hah... kotak yang ayah simpan koleksi duit syiling pelbagai negara," kata si ayah sambil menunjukkan kotak kayu sederhana kecil. Di dalamnya dipenuhi pelbagai jenis duit syiling. Si anak mengangguk-angguk.

Beberapa hari kemudian, si ayah mendapati duit syilingnya beralih tempat tersimpan di dalam sebuah plastik lutsinar. Kotak yang disayanginya pula telah tiada.

"Siti, mana kotak ayah? Siti ambil, ya?" tanya si ayah.... agak marah.

"Siti pinjam kejap ya, ayah," jawab Siti.

Keesokkannya, Siti menghadiahkan ayahnya sebuah kotak yang dibalut kemas beserta dengan reben sempena Hari Bapa. Ternyata kotak tersebut ialah kotak si ayah.

"Wah, cantiknya. Apa isinya Siti?" tanya ayahnya.

"Tidak ada apa-apa, kosong, " jawab Siti.

"Siti, kalau kita beri hadiah kepada orang lain, mesti ada sesuatu dalam kotak ini, " tegur si ayah yang kebingungan melihat cuma kotak kosong.

"Ayah, saya sudah isi dengan banyak ciuman sayang untuk ayah pada kotak ini. Itulah hadiah untuk ayah, " kata Siti sambil memeluk ayahnya.

Pengajaran : Kasih sayang dan cinta tidak dapat dilihat, namun dapat dirasai oleh mata hati. Kasih sayang selalunya tidak wujud dalam bentuk fizikal, namun ia sering wujud dalam bentuk abstrak.


Petikan dari Majalah Solusi isu no 41

No comments:

Post a Comment