Assalamualaikum anak-anak Mama.
Tak tahulah Mama sempat atau tidak menceritakan zaman persekolahan mama dahulu. Jadi, in shaa allah di blog mama ini mama akan bercerita.
Ok. Kita mula dengan sekolah tadika dahulu, ya.
Ketika mama berusia 3 hingga 6 tahun, mama dibela oleh Uda. Kami menetap di Renggam kerana Pok Der bertugas di sana.
Awal tahun 70an tidak banyak sekolah tadika atau tabika. Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. Masa tu belum ada Tadika Kemas atau yang seangkatan dengannya. Kanak-kanak pada zaman itu akan terus dihantar bersekolah menjelang umur 7 tahun ke Darjah 1.
Berlainan pula dengan keluarga mama.
Ketika mama berusia 6 tahun iaitu pada tahun 1973, mama telah memulakan alam persekolahan di sebuah Tadika di SRJK(C) di Renggam. Itu jer satu-satunya tadika di pekan Renggam pada masa itu. Tidak banyak yang mama ingat kenangan bersekolah di sini..... kecuali belajar mengenal abjad ABC dan belajar bercakap cina asas (masa tu bahasa Mandarin belum diperkenalkan di sekolah), belajar mengenal nombor seperti ee, er, san dan seterusnya. Waktu persekolahan tidak panjang, rasanya 1 atau 2 jam sahaja..... jadi tak ada istilah "sekolah makan".
Mama tahu mama ada ramai kawan di sekolah. Malangnya mama tak ingat siapakan mereka kecuali seorang lagi budak perempuan melayu yang mama panggil "Ninot". Saat paling menyeronokkan bila kami semua dapat bermain bersama di gelongsor yang diperbuat daripada simen keras dan buaian kayu yang digantung pada dahan pokok besar. Kami berbual seperti ayam dan itik..... hehehe... satu cakap melayu satu cakap cina... Indahnya kenangan masa itu, kan?
Sekolah dahulu bukan macam sekolah sekarang. Cikgu tulis di papan hitam (tapi kaler dia ijau) dan kami juga membawa papan hitam kecil masing-masing sebagai ganti buku latihan. Zaman tu mana ada buku aktiviti bagai? Jauh sekali komputer.....
Itu jer lah yang mama ingat tentang zaman sekolah tadika mama.
No comments:
Post a Comment