Assalamualaikum anak-anak Mama.
Hari ini mama nak berkongsi satu cerita. Tiada unsur politik, mungkin.
Sebelum berhijrah ke Kluang, mama dan babah tinggal di Tmn Universiti, Skudai. Rumah pertama kami beli sebaik sahaja berkahwin 20 tahun dahulu. Sebuah rumah teres 4 bilik lot tengah berhampiran Masjid utama Tmn Universiti. Satu baris ada 10 biji rumah. Di situ ada 6 keluarga Cina, 2 keluarga India dan 2 keluarga melayu termasuk kami. Kami hidup dengan aman, damai dan muhibbah.
Kami paling rapat dengan keluarga Tan dan keluarga Kang. Mereka jiran yang paling hampir dengan kami. Kami tidak sebangsa dan seagama tetapi kami hidup dengan harmoni, bertolak ansur dan menghormati satu sama lain. Kami juga saling menjaga dan memerhatikan keselamatan rumah dan keluarga satu sama lain. Anak-anak mereka juga mesra bermain bersama mama dan babah. Oleh kerana masa tu mama belum ada anak, maka anak merekalah yang mama selalu dukung dan "bawak main".
Puan Kang (bukan nama sebenar) beragama Kristian, pernah belajar dan bekerja di Singapura. Suaminya seorang Buddha, asal Kedah dan bekerja di Singapura . Mereka ada seorang anak lelaki. Namanya Kang Jr. (bukan nama sebenar). Sekarang Kang Jr. dah berusia 16 tahun. Semasa Kang Jr. kecil, dia dihantar bersekolah di tadika milik orang Islam dan bersekolah kebangsaan. Lucunya, di rumah pun diamalkan apa yang dipelajari di sekolah seperti baca basmallah, baca doa makan, bersalaman dan sebagainya. Encik dan Puan Kang tidak menetapkan agama untuk anaknya anuti, terpulang kepada Kang Jr. untuk memilih bila dia besar nanti. Puan Kang juga merupakan kawan karib mama di rumah..... segala cerita gembira dan sedih kami kongsi bersama.
Keluarga Tan, beragama Buddha, ada 3 anak perempuan yang comel-comel. Dia bekerja di Singapura dan isterinya, Mei (bukan nama sebenar) seorang suri rumah. Mei selalu tolong tengok-tengokkan rumah kami semasa kami keluar bekerja. Dia juga yang "rajin" menjaga pokok pelam epal kami dari dicuri buahnya oleh "kaum yang satu lagi" tu. Kalau hari nak hujan, riuhlah suara Mei jerit "kak... hari hujan.... angkat baju!!!".
Keluarga Melayu di sebelah rumah jarang sekali kami nampak atau bersua muka dan kurang mesra dengan penduduk lain biarpun mereka juga bermastautin di situ. Barangkali sibuk dengan pekerjaan, urusan rumah tangga dan keluarga.
Rumah keluarga India pula terletak beberapa pintu dari rumah kami. Mereka penyewa yang sering bertukar penyewa.. Jadi kami tak berapa kenal dengan mereka.
Di kejiranan kami ini, kami mendengar azan dari masjid berhampiran 5 kali sehari. Mencium bau colok yang dibakar oleh jiran Cina dan mendengar bunyi loceng yang dimainkan oleh keluarga India setiap petang. Masing-masing dengan agama masing-masing.... dan kami tetap harmoni dan hormat menghormati satu sama lain.
Anak-anakku, takdir Allah menetapkan mama dan babah berhijrah ke Kluang. Mama tidak pernah menyangka sama sekali akan bermastautin di sini kerana sebelum itu mama menyangka hidup dan mati kami ialah di Skudai.
Hendak berhijrah ke sini pada mulanya amat merisaukan. Tapi, pandai-pandai lah nak hidup dan menyesuaikan diri, kaaan?
Oh ya... sambung tentang Lim dan Kang.
Setelah beberapa bulan mama dan babah berpindah..... rumah keluarga Kang dimasuki pencuri dan mereka mengambil keputusan berpindah ke kawasan lain menjual rumah mereka. Keluarga Lim pula berpindah pulang ke kampung halaman mereka di Pekan Nenas.
Anak-anakku, banyak kenangan indah semasa mama dan babah menetap di sana. Taman Universiti adalah tempat yang seronok, memiliki kemudahan infra struktur yang baik. In shaa Allah.... rumah itu akan menjadi milik kalian suatu hari nanti.
Anak-anakku, walau siapa pun jiran kita... ingat dan amalkan lah adab-adab berjiran iaitu :
1. Memberi salam atau bertegur bila bertemu.
2. Jangan banyak bertanya hal-hal yang tidak diberitahu.
3. Menziarahi jiran apabila jiran sakit atau ditimpa musibah.
4. Menunjukkan simpati apabila jiran menghadapi kesusahan.
5. Turut merasa gembira apabila jiran mendapat berita gembira.
6. Memaafkan kesalahan jiran.
7. Tidak menunjukkan pandangan(meninjau-ninjau) ke dalam rumah jiran.
8. Tidak menimbulkan rasa susah hati jiran.(cth. daun-daun dari halaman kita gugur ke halaman jiran menyebabkan jiran rasa tidak selesa.)
9. Tidak menyempitkan jalan ke rumahnya.
10.Menutub keaiban jiran.
11.Meringankan beban jiran.(cth: membantu jiran apabila jiran menghadapi kesusahan)
12.Tidak mudah terpedaya dengan kata-kata fitnah terhadap jiran kita.
13.Menghormati isteri atau pembantu rumah jiran kita.
14.Berlemah lembut terhadap anak-anak jiran tetangga.
15.Membantu/memberi tunjuk ajar kepada jiran kita dalam hal-hal dunia/akhirat sekiranya kita mampu.
P/S : Pokok pelam epal mama masih hidup biarpun buahnya sudah tidak lebat dan saiz mengecil......
No comments:
Post a Comment