Wednesday, February 22, 2012

Hari itu dalam kenangan



Terjumpa lagu ni kat fb Rozlin.... dan tiba-tiba aku terkenangkan allahyarhamah Faridah binti Mahat.

Aku kenal Faridah Mahat sejak tahun 1995 iaitu semasa bekerja di HELM. Dia muda dua tahun dariku. Kami berdua selesa bersama... mungkin nama yang hampir sama mendekatkan hubungan kami. Kami sering berkongsi segalanya bersama... dari makanan hingga ke masalah kehidupan.

Disebabkan masalah rumahtangga, dia mengambil keputusan berhenti kerja dari HELM. Kami tidak pernah putus hubungan... dan masih mengambil berat tentang satu sama lain walaupun ketika itu dia dah bekerja di tempat lain.

Awal 1998 aku terima berita Faridah dah selamat melahirkan anak ketiganya iaitu seorang bayi lelaki yang amat diidamkannya. Aku menziarahinya dan dia dia amat gembira dengan kedatanganku ke rumahnya itu. Kebetulan ketika dia dia baru saja habis berpantang. Kami bercerita macam-macam.... dari cerita zaman sekolah, zaman bekerja di HELM, fasal keluarga kami dan kawan-kawan. Kami bercerita seperti tiada kesudahannya......

Dalam pada itu Faridah sibuk pula menyiapkan makanan tengahari. Masih aku ingat.... sambil menyiang sayur kangkung, dia berkata "Kak Daa (panggilan dia untukku) saya nak makan kangkung ni sejak dalam pantang lagi. Ni hah lepas pantang terus beli kangkung. Nanti kalau saya mati, mata saya akan tertutup rapat sebab dah lepas hajat dapat makan sayur kangkung". Aku ingat dia hanya bergurau dan berderailah ketawa kami. Bila waktu nak pulang, dia beriya-iya memohon maaf dariku dan berkali-kali disalamnya tanganku dan memelukku. Aku yang kehairanan berkata "apsal nak salam dan peluk banyak kali ni? Nanti lagi 2 minggu kita jumpa... akak akan datang lagi rumah awak". Dia kata "mungkin ni kali terakhir kita berjumpa......". Aku ni ingatkan dia masih bergurau walaupun masa tu muka dia memang serius.....

Minggu depannya Faridah melaporkan diri bekerja selepas tamat cuti bersalinnya....

Pada hari ketiga dia bekerja, tiba-tiba aku menerima panggilan telefon dari suami Faridah. Katanya Faridah dah "pergi" akibat kemalangan semalam.... pendarahan dalaman...paru-parunya pecah akibat hentakan pada dashboard. Hah? Aku terkesima.... seakan tidak percaya sebab dia yang aku jumpa beberapa hari lalu sangat sihat dan gembira. Aku seakan terlupa bila ajal menjemput, tak kira berapa usia kita, tak kira bagaimana keadaan kesihatan dan emosi kita....

Kemudian, barulah aku faham apa yang dia cakap mengenai sayur kangkung, kemaafannya dan pelukkannya. Patutlah dia kata lepas ni kita dah tak jumpa lagi...... Itulah pertemuan terakhir kami.....

Allahyarhamah Faridah selamat dikebumikan di kampung orangtuanya di Batu Pahat. Dia meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil (Nur Fasihah ketika itu berusia 8 tahun, yg kedua - lupa lak nama sbb nama panjang- berusia 4 tahun dan baby Lukman Hakim yang baru berusia 60+ hari.

Al-fatihah untuk adik/sahabatku allahyarhamah Faridah binti Mahat. Akan kukenang allahyarhamah sebagai seorang insan yang baik, penyabar, penyayang, cantik dan pandai memasak.....

No comments:

Post a Comment